Suasana pameran sempena Majlis Pembukaan Pameran Defense Services Asia (DSA) 2026 dan National Security Asia 2026 di MITEC, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 April 2026.

KUALA LUMPUR – Airbus komited untuk memperkukuhkan kerjasama sektor penerbangan termasuk pertahanan di Malaysia yang sedia terjalin sejak lebih empat dekad lalu.

Presiden Airbus Asia Pasifik, Anand Stanley berkata, kerjasama itu akan diteruskan apatah lagi kedudukan Malaysia sebagai pangkalan pelanggan utama merangkumi segmen helikopter, pertahanan dan angkasa.

“Malaysia merupakan pasaran penting bagi Airbus dan kami komited untuk menyokong keperluan jangka panjang negara.

“Ia melalui produk dan perkhidmatan kami, serta kerjasama dengan rakan-rakan tempatan,” katanya pada sidang media sempena pembukaan Defence Services Asia (DSA) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat lebih 80 helikopter awam, parapublik dan ketenteraan yang beroperasi bersama agensi nasional dan angkatan bersenjata ketika ini.

“Aset ini beroperasi seiring dengan empat pesawat pengangkut tentera Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Malaysia turut menikmati keupayaan komunikasi yang kukuh menerusi satelit telekomunikasi MEASAT-3b dan MEASAT-3d yang dibina oleh Airbus,” katanya.

Jelasnya, Airbus juga akan menyokong dan memperkukuh pertahanan dan keselamatan negara melalui rangkaian luas helikopter dan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS), termasuk Airbus H225M, NH90 dan Flexrotor.

“NH90 diketengahkan bagi operasi peperangan antikapal selam (ASW) dan antipermukaan (ASuW).

“Tersedia dalam varian pengangkutan taktikal (TTH) dan helikopter frigat NATO (NFH), versi NFH mampu melaksanakan pelbagai misi peperangan maritim dan keselamatan laut.

“Sebagai aset kritikal, H225M pula membolehkan pelaksanaan misi mencari dan menyelamat tempur (CSAR) yang menyelamatkan nyawa.

“Malah, ia berupaya melengkapi armada H225M sedia ada TUDM serta peranannya dalam pertahanan negara dan operasi kemanusiaan,” katanya.

Dalam pada itu, kata Anand, Malaysia memerlukan aset serba guna yang mampu melaksanakan pelbagai misi termasuk risikan, pengawasan, pemerolehan sasaran dan peninjauan (ISTAR).

“Sistem UAS taktikal Flexrotor menumpukan kepada ketahanan penerbangan ultra panjang dan operasi berprofil rendah.

“Sesuai dengan landskap pertahanan Malaysia, Flexrotor telah terbukti dalam misi dengan lebih 5,800 jam penerbangan di persekitaran berisiko tinggi,” katanya.

Menurut Anand, bagi pesawat ketenteraan pula, Airbus A400M diketengahkan dengan keupayaan sokongan pengisian bahan api udara ke udara, membawa muatan berat dalam jarak jauh, serta beroperasi di landasan tidak berturap.

“Sebagai pelanggan eksport pertama jenis ini, TUDM menggunakan pesawat tersebut untuk pelbagai misi ketenteraan dan kemanusiaan.

“Pesawat Airbus C295 turut disebut sebagai sebahagian daripada pilihan armada campuran A400M-C295 bagi Malaysia, menyediakan penyelesaian menyeluruh merangkumi misi pertahanan, respons bencana dan keselamatan maritim.

“Varian C295 MSA pula menawarkan ketahanan penerbangan melebihi 11 jam, sesuai untuk pengawasan maritim,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan komunikasi satelit ketenteraan (milsatcom) masa depan Malaysia, beliau berkata, Airbus menawarkan platform Eurostar Neo.

“Dengan jangka hayat operasi sehingga 15 tahun, platform ini menyokong pelbagai jalur komunikasi, selain menawarkan daya tahan operasi tanpa gangguan, konfigurasi boleh ubah suai sepenuhnya dan kemudahan pengendalian,” katanya.

Katanya, anak syarikat Airbus Helicopters Malaysia (AHM) turut menyediakan perkhidmatan termasuk jualan dan pengedaran produk helikopter, penyelenggaraan, baik pulih dan pengubahsuaian, sokongan logistik, pengendalian darat serta kemudahan hangar di Subang.

“Malaysia juga berperanan sebagai hab serantau bagi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) helikopter, selain pusat penyempurnaan dan penghantaran serantau.

“Tapak Subang turut menempatkan satu-satunya simulator penerbangan penuh H225/H225M dan AS365N3/N3+ Dauphin di rantau ini.

“Usaha kini sedang dijalankan untuk memperluas kemudahan tersebut dengan penambahan simulator Airbus H175 bagi menyokong latihan penarafan jenis, latihan berkala dan latihan misi juruterbang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast