Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir bagi sambung bicara kes berhubung rasuah projek terowong dasar laut ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 20 APRIL 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Selepas enam tahun prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, pihak pendakwaan memohon untuk meminda salah satu daripada empat pertuduhan rasuah terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkaitan kes terowong dasar laut di negeri itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, pindaan itu dibuat bagi mengeluarkan perkataan ‘menerima’ yang terdapat dalam pertuduhan pertama.

Ujar beliau, pendakwaan memohon pindaan dibuat bagi memenuhi kehendak peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurut beliau, Seksyen 23 tidak mensyaratkan elemen ‘menerima’ atau `meminta’ sebaliknya tertumpu kepada tujuan suapan.

“Jumlah RM3.3 juta itu tetap kekal dalam pertuduhan dan tidak memprejudiskan tertuduh. Pembelaan tertuduh tetap sama bahawa beliau tidak pernah menerima wang berkenaan,” ujarnya.

Bagaimanapun, permohonan itu dibantah oleh peguam Ramkarpal Singh atas alasan perkataan `menerima’ yang dipohon untuk digugurkan itu merupakan komponen penting dalam pertuduhan asal dan telah menjadi asas kepada keseluruhan pembelaan sepanjang perbicaraan.

“Pengguguran elemen itu pada peringkat ini selepas enam tahun perbicaraan boleh menjejaskan pembelaan, termasuk isu keraguan yang telah dibangkitkan terhadap elemen penerimaan dan kredibiliti saksi,” ujarnya.

Ramkarpal turut memohon penangguhan bagi menyediakan hujahan lengkap berhubung bantahan tersebut sambil menegaskan,  permohonan itu bukan bertujuan melengahkan prosiding.

Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan hujahan berhubung permohonan pindaan itu didengar esok.

Prosiding diteruskan dengan sesi soal balas oleh pihak pembelaan terhadap saksi pendakwaan ke-37, ahli perniagaan, Datuk Seri G. Gnanaraja, 44.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri berkenaan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi projek sama yang didakwa berlaku berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast