Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto SADIQ SANI, 21 APRIL 2026.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bertindak secara semberono dalam pemberian dokumen pengenalan diri kepada 9,007 penduduk yang terjejas dalam kebakaran besar rumah atas air Kampung Bahagia, Sandakan, Ahad lalu.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menunggu Kerajaan Negeri Sabah melakukan proses pendaftaran mangsa terjejas terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut boleh diambil.

“Dalam proses pendaftaran itu, kalau nantinya kita temui kes-kes umpamanya individu atau anggota yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, kita akan tangani perkara itu satu persatu.

“Kita tak boleh buat satu kenyataan umum. Seperti mana biasa, soal pemilikan dokumen peribadi ini sangat penting untuk dimiliki.

“Pada masa yang sama, tak boleh juga sewenang-wenangnya diberikan kepada mereka yang tidak layak memilikinya,” katanya pada sidang media di pejabat KDN hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr Awang Alik Jeman menerima cenderamata penghargaan daripada Pengerusi Desan Shipyard, Cenk Ismail Kaptanoglu pada Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan Satu Buah Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) Kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 21 APRIL 2026.

Terdahulu, Saifuddin menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan Kapal Misi Serbaguna 2 yang ditandatangani Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman bersama wakil syarikat Desan Shipyard, Cenk Ismail Kaptanoglu.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana (M) Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Sebelum ini, polis mengesahkan seramai 9,007 penduduk terjejas dalam kebakaran besar kira-kira 1,000 rumah atas air Kampung Bahagia, Sandakan, awal pagi pada Ahad lalu.

Sebagai langkah awal, Saifuddin berkata,  kerajaan negeri dan kerajaan pusat menggembleng tenaga membantu mangsa kebakaran tersebut dan memberi keutamaan kepada individu-individu yang mempunyai status warganegara.

“Kalau kejadian seperti itu berlaku, menyebabkan dokumen itu hilang, kami akan membolehkan mereka mengadakan dokumen ganti.

“Tapi itu bukan bermakna kita akan pukul borong saja. Semua mangsa layak atau tidak (dapat dokumen pengenalan diri). Kita akan tangani satu persatu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast