ISKANDAR PUTERI – Polis melumpuhkan sindiket penyeludupan migran selepas menahan sembilan lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan dalam dua serbuan di kawasan Tanjung Kupang, dekat sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, menerusi Op Pintas tersebut pihaknya berjaya memutuskan rangkaian aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa asing (PATI) dari negara tersebut.
“Menerusi kes pertama, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah menahan seorang lelaki warga Indonesia dipercayai bertindak sebagai tekong darat di sebuah stor rumah.
“Dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 pagi itu, polis turut menahan dua lagi lelaki warga Indonesia berumur antara 32 hingga 47 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu katanya, pada pukul 6.30 pagi, polis menahan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga rumah penampungan di lokasi sama.
Katanya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan awal air kencing adalah negatif dadah.
Beliau berkata, dalam serbuan tersebut, polis merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kenderaan dan wang tunai berjumlah RM4,140.
Bagi kes kedua, Kumarasan berkata, serbuan dilakukan di sebuah jeti di kawasan berhampiran pada pukul 6.45 pagi hari yang sama.
Pihaknya berjaya menahan dua lelaki warga Indonesia dipercayai tekong laut dan penjaga pantai bersama-sama empat lagi migran lelaki Indonesia berusia antara 36 hingga 66 tahun yang juga tidak mempunyai dokumen sah.
“Antara barang yang dirampas ialah sebuah bot fiber sepanjang 17 kaki, enjin bot 40 kuasa kuda, sebuah motosikal, dua telefon bimbit serta wang tunai RM4,200.
Tambahnya, kesemua migran yang ditahan direman selama 14 hari bermula Ahad lalu hingga 2 Mei ini mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.
“Eempat lagi suspek yang berperanan sebagai tekong darat, penjaga rumah penampungan, tekong laut dan penjaga pantai ditahan di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari sehingga 16 Mei ini,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.- MalaysiaGazette
Antara barangan yang dirampas dalam Ops Lintas di kawasan Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, Sabtu lalu.
















