KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa agar penubuhan badan pemantau seperti Suruhanjaya Amal atau Charity Commission Malaysia wajar dipercepatkan susulan isu-isu penyelewengan dana umat termasuk zakat kebelakangan ini.
Presidennya, Ahmad Mohd Samsudin berkata, badan pemantau tersebut boleh memastikan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi kebajikan beroperasi dengan lebih telus dan berintegriti.
Dalam masa sama katanya, penggunaan teknologi untuk menjejak aliran dana serta audit yang lebih konsisten perlu diperkasakan.
“ABIM juga berpandangan bahawa kutipan dana umat termasuk zakat yang dijalankan merentas negeri atau di luar kawasan asal perlu diselaraskan dengan lebih jelas.
“Mekanisme seperti pewartaan, garis panduan yang seragam dan pemantauan yang konsisten adalah penting bagi memastikan ketelusan serta mengelakkan kekeliruan atau ketirisan.
“Langkah ini bukan bertujuan menyekat, tetapi untuk melindungi amanah masyarakat dan memastikan bantuan benar benar sampai kepada yang berhak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2026/04/21/disyaki-seleweng-dana-zakat-rm230-juta-tiga-individu-ditahan/
Tambah beliau, isu tersebut tidak wajar dilihat semata mata sebagai kes jenayah individu, tetapi sebagai petanda kepada masalah yang lebih besar dalam pengurusan amanah dan tadbir urus dana masyarakat.
Jelasnya, kelemahan dalam kawalan dalaman, pemantauan yang tidak menyeluruh serta ketiadaan standard yang seragam boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan. Jika perkara ini tidak diperbaiki, risiko kejadian berulang akan terus wujud. -MalaysiaGazette
















