KUALA LUMPUR – Langkah menurunkan kadar deposit cagaran bagi aktiviti konsert, pertunjukan pentas dan kebudayaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur satu keputusan tepat.
Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abd Majid berkata, keputusan itu signifikan membantu merancakkan semula industri hiburan tempatan yang sekian lama terkesan khususnya melibatkan penggiat seni, penganjur konsert serta pemain industri kreatif.
“Penurunan cukai ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada penganjur acara, malah membuka lebih banyak peluang kepada artis tempatan untuk kembali aktif berkarya serta menjayakan lebih banyak konsert dan persembahan berkualiti,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ayob, IRAMA percaya langkah proaktif itu akan memberi kesan positif kepada ekosistem industri muzik negara seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kreatif dan sektor pelancongan negara.
“Kami berharap sokongan seperti ini dapat diteruskan demi memastikan industri hiburan tempatan terus berkembang, berdaya saing dan mampan,” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh mengumumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan kadar deposit cagaran bagi aktiviti konsert, pertunjukan pentas dan kebudayaan sebagai sokongan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
















