Sumber : Unit Komunikasi Korporat dan Latihan Tourism Pahang

KUANTAN – Pahang sekali lagi membuktikan kekuatan sebagai antara destinasi pelancongan utama negara apabila berjaya merekodkan Kadar Purata Tempoh Penginapan tertinggi di Malaysia, iaitu sebanyak 76.3 peratus bagi tempoh Januari hingga Disember 2025.

Penilaian dibuat berdasarkan rekod lebih 36,000 bilik penginapan berdaftar di seluruh negeri, menurut data rasmi Bahagian Perancangan Strategik, Tourism Malaysia.

Pencapaian yang dicapai tiga tahun berturut-turut ini sekali gus mencerminkan tahap keyakinan tinggi pelancong terhadap keunikan produk pelancongan, kemudahan penginapan serta pengalaman percutian yang ditawarkan di Pahang.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, kadar purata tempoh penginapan tertinggi di Malaysia yang dicatatkan oleh negeri ini menunjukkan respons amat positif terhadap peningkatan kedatangan pelancong ke negeri ini.

“Pada tahun 2025, jumlah kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa mencatatkan sebanyak 15.28 juta orang. Kita juga optimis untuk mencapai sasaran 15.5 juta pelancong bagi tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan, lima daerah yang merekodkan prestasi kedatangan pelancong paling memberangsangkan ialah Bentong, Kuantan, Cameron Highlands, Temerloh dan Rompin.

Destinasi popular seperti Genting Highlands, Pulau Tioman, Cameron Highlands, Taman Negara dan Bandaraya Kuantan pula terus menjadi tarikan utama serta kekal relevan dalam peta pelancongan negara, dengan peningkatan jumlah pengunjung dari semasa ke semasa.

Menurut Yu Man, kejayaan itu turut didorong oleh pelbagai usaha promosi berterusan, penganjuran acara pelancongan berskala besar, kerjasama strategik bersama pemain industri serta komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sektor pelancongan sebagai antara pemacu ekonomi utama Pahang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast