Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan, Kulai, malam tadi.

KULAI – Seorang pemandu maut tersepit selepas terlibat dalam kemalangan lori dan treler di Kilometer 41.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan di sini, malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Azizan Azis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 12 tengah malam.

Susulan itu, katanya, seramai tujuh anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan melibatkan lori Hino tiga tan dan treler Hino yang mengakibatkan pemandu treler tersepit di tempat duduk pemandu. Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

“Mangsa, Norisham Mohd Shah yang berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, operasi menyelamatkan mangsa selesai pukul 1.34 pagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast