Tangkap layar dari video yang tular.

MELAKA – Lagi kes melibatkan pemandu bas di negeri ini apabila kali ini seorang lelaki didakwa melakukan provokasi selain menunjukkan isyarat lucah terhadap pengguna jalan raya lain yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisiner Christopher Patit berkata, ia selepas pihaknya mengesan satu hantaran di Facebook kira-kira jam 2 petang tadi yang dimuat naik oleh pemilik akaun Muhazam Shah.

Menurutnya, susulan tindakan provokatif pemandu bas berkenaan, satu laporan polis telah diterima daripada seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun berhubung kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.38 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit

“Hasil siasatan awal mendapati, pengadu yang memandu kereta jenis Proton Persona dari arah Plaza Mahkota menghala ke Kota Laksamana telah dihimpit sebuah bas di kawasan selekoh berhampiran Mahkota Medical Centre sehingga hampir melanggar kon jalan.

“Selepas membuat pusingan U, bas terbabit sekali lagi bertindak memotong dan menghimpit kenderaan pengadu di jejambat Syed Abdul Aziz hingga hampir melanggar tembok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengadu kemudian mengekori bas tersebut sebelum ia berhenti di bahu jalan di kawasan Kota Laksamana.

“Anak pengadu turun untuk mendapatkan maklumat, namun pemandu bas yang merupakan lelaki tempatan bertindak agresif dengan cuba memukul serta mengajak bergaduh,” katanya.

Pemandu bas yang didakwa terlibat menunjukkan isyarat lucah.

Susulan itu, Christopher meminta orang ramai yang melihat kejadian tersebut menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini, tular dua kes berasingan melibatkan pemandu bas ekspres memandu sambil meriba wanita yang juga kekasihnya dan pemandu lelaki yang mengaku memandu secara berbahaya dalam keadaan khayal dadah.

Kedua-dua pemandu berkenaan mengaku bersalah di mahkamah menyebabkan masing-masing mereka berusia 36 dan 53 tahun dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan 7 bulan.

Mereka masing-masing turut turut didenda RM5,000 dan RM8,000 serta lesen memandu digantung selama lima tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast