MELAKA – Seorang bekas penyelia kilang direman selama enam hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan menerima rasuah kira-kira RM25,000 sebagai habuan membenarkan kerja lebih masa daripada 31 pekerja di bawah seliaannya sejak dua tahun lalu.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 40- an itu sehingga 29 April ini dikeluarkan Majistret N Sivashangari selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira pukul 12.20 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Melaka.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada 31 pekerja, kebanyakannya warga asing, sebagai balasan untuk menyokong serta memberi kebenaran bekerja lebih masa.
“Perbuatan itu dipercayai dilakukan antara tahun 2024 hingga 2025 dengan bayaran antara RM25 hingga RM200 secara tunai dan bulanan,” katanya.
Sumber turut memaklumkan, suspek dipercayai mengugut pekerja terlibat dengan tidak menyokong permohonan kerja lebih masa sekiranya bayaran tidak dibuat.
Sementara itu, Pengarah SPRM, Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















