Penguat kuasa menahan satu pasangan yang berkhalwat dalam sebuah rumah kedai flat di Pontian semalam

PONTIAN – Cubaan lelaki bujang melarikan diri semasa serbuan cegah maksiat di sebuah rumah kedai tingkat bawah gagal apabila berjaya dicekup bersama-sama pasangannya di Benut di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 3.15 pagI itu, penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sudah siap sedia menunggu di pintu belakang bagi mengelak mana-mana pihak melarikan diri.

JAINJ dalam kenyataan memberitahu, rumah tersebut sudah dikepung penguat kuasa dan lelaki terbabit gagal memboloskan diri ikut pintu belakang.

“Pintu dibuka lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang memakai seluar panjang dan t-shirt selepas diketuk dengan kuat sambil menjerit memanggil penghuninya.

“Pihak penguat kuasa masuk ke bilik dan mendapati cahaya samar-samar. Selepas suiz lampu dibuka, ditemui seorang wanita duduk atas tilam berbaju kelawar yang tidak berlengan,” ujar kenyataan itu.

JAINJ memaklumkan, kedua-duanya kelihatan terkejut melihat penguat kuasa melakukan serbuan dalam bilik itu.

“Pemeriksaan di tempat tidur didapati berkembur dan kedua-duanya mengaku tidur di situ. Mereka melakukan perkara ini suka sama suka,” jelas JAINJ.

Pasangan itu mengaku hanya berdua-duaan,bukan suami isteri dan bukan juga berpangkat ibu tiri walaupun lelaki berusia 28 tahun dan wanita berusia 50 tahun.

Lelaki itu masih bujang, bekerja tidak jauh dari sini manakala wanita pula adalah warganegara Indonesia, berstatus isteri orang dan sama tempat kerja dengannya.

Siasatan JAINJ mendapati rumah itu disewa wanita berkenaan dan lelaki terbabit didakwa kerap datang dan kediamannya tidak jauh dari situ.

“Menurut cerita pengadu yang dirahsiakan identitinya, lelaki selalu datang ke bilik sewa wanita itu seminggu sekali atau dua kali. Wanita ini sudah lama bekerja di sini untuk mencari rezeki yang mewah dan lumayan di Johor,” ujar JAINJ.

Jelas kenyataan itu, suami dan anak-anaknya berada di Indonesia dan pulang ke kampung dengan menaiki feri melalui jeti di pekan Kukup di sini.

“Dia berkenalan pula dengan lelaki yang jauh lebih muda di tempat kerja dan mereka semakin rapat dan berbalas Whatsapp,” maklum JAINJ lagi.

Pasangan berkenaan akan didakwa bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat.

Bagi sebarang aduan kes cegah maksiat boleh berhubung dengan 07-2076429.- MalaysiaGazette

Penguat kuasa menahan satu pasangan yang berkhalwat dalam sebuah rumah kedai flat di Pontian semalam

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast