KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disifatkan sebagai satu ujian besar terhadap integriti institusi negara.
Ia juga peluang penting untuk melaksanakan reformasi menyeluruh dalam usaha membanteras rasuah.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, pelantikan tersebut bukan sekadar istiadat atau pengumuman rasmi sebaliknya mencerminkan keperluan kepada keberanian dan iltizam dalam memastikan keadilan ditegakkan tanpa kompromi.
Menurut beliau, integriti tidak terletak pada gelaran, tetapi pada tindakan seperti keputusan yang dibuat secara telus, siasatan yang dijalankan tanpa gentar serta keupayaan menolak sebarang campur tangan yang boleh menjejaskan keadilan.
“Pelantikan ini membuka ruang kepada perubahan, namun tanggungjawab semata-mata tidak mencukupi. Perubahan hanya akan berlaku dengan keberanian, iltizam dan sokongan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Nurul Izzah, rakyat Malaysia telah sekian lama mendesak agar SPRM benar-benar bebas dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak berkepentingan termasuk individu yang disiasat.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa pelantikan baharu tidak menjamin pembaharuan automatik memandangkan pengalaman lalu menunjukkan wujudnya keraguan, kompromi senyap dan kelewatan keadilan yang akhirnya menjejaskan kepercayaan rakyat.
“Reformasi sebenar tidak semestinya lantang tetapi berlaku melalui semakan Akta SPRM, pengukuhan perlindungan institusi dan kebertanggungjawaban sebenar kepada Parlimen,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan tanpa perubahan struktur yang kukuh, segala kemajuan berisiko runtuh pada masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia agar terus memainkan peranan dalam menuntut ketelusan dan keadilan, serta tidak berputus asa dalam usaha memerangi rasuah.
“Perubahan tidak berlaku ke atas kita tetapi kerana kita,” katanya. – MalaysiaGazette















