Pasukan PKKL Tabung Haji melambai tangan ke arah jemaah haji yang meneruskan perjalanan ke Makkah.

MAKKAH – Di sebalik kelancaran pergerakan jemaah haji Malaysia dari Madinah ke Makkah sejauh 440 kilometer dalam tempoh kira-kira lapan jam, wujud satu pasukan yang bekerja tanpa henti sebagai tulang belakang operasi haji iaitu Pusat Panggilan Kecemasan Lebuh Raya (PPKL).

Dibentuk oleh Lembaga Tabung Haji (TH), PPKL memainkan peranan penting dalam memantau pergerakan bas yang membawa jemaah, memastikan mereka tiba dengan selamat ke Tanah Suci.

Pengurus PPKL, Mohamad Azir Shahril Ahmad berkata, pemantauan berterusan amat kritikal bagi menjamin keselamatan jemaah di sepanjang perjalanan lebuh raya, selain mengelakkan sebarang kelewatan atau risiko tidak diingini.

Mohamad Azir Shahril Ahmad

“Bas-bas di sini tidak dilengkapi sistem pengesanan global (GPS), justeru kami memantau pergerakan berdasarkan jadual masa normal. Jika berlaku kelewatan, kami akan segera menghubungi pemandu atau jemaah untuk mendapatkan maklumat. Mereka akan menghantar kedudukan mereka menerusi Google Map supaya bantuan dapat disalurkan dengan cepat,” katanya.

Operasi PPKL berpangkalan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Al Hijrah di Wadi Starah, yang terletak kira-kira 240 kilometer dari Madinah dan 200 kilometer dari Makkah.

Lokasi ini menjadi hentian bagi jemaah untuk berehat, makan dan menunaikan solat sebelum meneruskan perjalanan.

Bas-bas yang membawa jemaah haji Malaysia di Rehat dan Rawat (R&R) Al Hijrah di Wadi Starah, yang terletak kira-kira 240 kilometer dari Madinah dan 200 kilometer dari Makkah.

Menurut Mohamad Azir, sekiranya berlaku kerosakan bas, agensi Naqaba yang menyelaras pengangkutan jemaah di Arab Saudi akan bertindak pantas menyediakan penggantian, manakala kes kecemasan kesihatan pula akan dirujuk ke pusat rawatan yang terletak hanya empat kilometer dari R&R tersebut.

Beliau berkata, pasukan PPKL yang terdiri daripada lima petugas merupakan antara kumpulan terawal tiba di Arab Saudi bagi membuat persiapan rapi di lokasi berkenaan.

“Kami memastikan kemudahan asas seperti kedai makan, surau, tandas serta kawasan parkir yang luas mencukupi untuk menampung jumlah bas yang banyak, termasuk jemaah dari negara lain,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui tugas itu bukan datang tanpa cabaran.

PPKL memantau pergerakan jemaah haji di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Al Hijrah di Wadi Starah, yang terletak kira-kira 240 kilometer dari Madinah dan 200 kilometer dari Makkah.

Cuaca di kawasan tersebut panas melampau dan berisiko ribut pasir yang boleh menjejaskan perjalanan apabila laluan diliputi debu.

“Jika ribut pasir berlaku, perjalanan pasti terganggu. Jadi kami sentiasa bersedia dan menjaga kesihatan dengan memastikan pengambilan air mencukupi serta melengkapkan vaksinasi,” katanya.

Sepanjang sebulan bertugas di lokasi itu, Mohamad Azir mengakui kehidupan mereka tertumpu sepenuhnya kepada operasi.

“Di sini tiada ‘life’, hanya kerja. Selain kami berlima, rakan-rakan kami adalah pekerja dari Yaman dan Pakistan, termasuk pemandu lori di kawasan ini.

“Yang penting bagi kami dapat menyantuni jemaah haji dan memastikan mereka selamat tiba untuk meneruskan ibadah. Itulah keutamaan kami demi keselesaan duyufurrahman,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast