KOTA TINGGI – Pekebun warga emas yang ditahan selepas menembak mati tiga individu di sebuah restoran di Taman Kota Jaya di sini, 19 April lalu, tiba di Mahkamah Majistret di sini pagi ini untuk pertuduhan.
Suspek berusia 71 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah pukul 9.15 pagi diiringi anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi termasuk Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi yang juga pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Nor Azizi Indzam.
Suspek dilihat tenang dengan tangan bergari, memakai t-shirt berkolar serta seluar lokap polis berwarna ungu berjalan perlahan-lahan.
Jumaat lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, suspek kes berkenaan bakal berdepan tiga pertuduhan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek yang sebelum ini ditahan pada jarak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian, direman tujuh hari berakhir semalam.
Dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam berusia antara 37 hingga 63 tahun dilaporkan maut selepas ditembak menggunakan Shotgun buatan Benelli M/super dengan nombor siri M104817.
Hutang berjumlah RM50,000 dipercayai menjadi motif pembunuhan itu.
Suspek juga dilaporkan mempunyai lesen sah senjata api.- MalaysiaGazette
















