Dua pelajar kolej maut selepas motosikal dinaiki kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Muar- Batu Pahat, Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT – Dua pelajar kolej maut manakala dua lagi parah selepas dua buah motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 136 Jalan Muar-Batu Pahat dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian berhampiran Parit Orang Kaya Bagan itu berlaku pukul 12.30 tengah hari melibatkan penunggang motosikal Honda RS150R, P Pugalenthi dan pemboncengnya, Muhammad Hariz Nizam masing-masing berusia 21 tahun.

“Terlibat sama sebuah lagi motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang oleh Syafiq Waliuddin Abdurakhman bersama-sama pembonceng Arif Danial Adzeman juga berusia 21 tahun dan sebuah lori dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun.

“Sebaik sahaja sampai di lokasi kejadian, lori yang berada di hadapan kedua-dua motosikal membelok ke simpang kanan dan dalam masa sama motosikal dinaiki Pugalenthi dan pemboncengnya, Muhammad Hariz cuba memotong lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan motosikal berkenaan melanggar bahagian belakang lori dan dalam masa sama, motosikal dinaiki Syafiq Waliuddin dan Arif Danial tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal di hadapannya.

Menurut Shahrulanuar lagi, akibat kejadian itu Pugalenthi dan Muhammad Hariz mengalami kecederaan parah di kepala serta badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.

Tambahnya, pemandu lori yang berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast