KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu tidak memadai tanpa reformasi menyeluruh, termasuk meletakkan agensi itu di bawah Parlimen bagi menjamin kebebasan sebenar daripada pengaruh politik.
Presidennya Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali menegaskan, isu utama bukan sekadar individu yang menerajui SPRM, tetapi sama ada institusi itu benar-benar bebas atau masih berada di bawah bayang-bayang kuasa politik.
Menurutnya, pertukaran kepimpinan semata-mata tidak membawa makna jika struktur lama yang mengikat SPRM kepada kuasa Perdana Menteri terus dikekalkan.
“Jangan hanya tukar nama di pintu pejabat, tetapi struktur kuasa masih sama. Jangan hanya tukar kepala, tetapi badan institusi masih terikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa kerajaan menunaikan janji reformasi institusi dengan meletakkan SPRM di bawah Parlimen, selaras dengan prinsip semak dan imbang serta ketelusan yang pernah diperjuangkan sebelum ini.
Ibrahim berkata, persepsi rakyat terhadap ketidaksamaan tindakan SPRM juga perlu ditangani segera, khususnya apabila kes melibatkan individu berprofil tinggi dilihat berjalan perlahan berbanding kes melibatkan rakyat biasa.
Katanya, Abdul Halim berdepan ujian besar untuk menangani kes-kes berprofil tinggi, termasuk pendedahan melibatkan ahli pernaigaan, Albert Tei berkaitan dakwaan rasuah wakil rakyat di Sabah.
“Rakyat mahu tahu status siasatan, siapa telah dipanggil dan apa hasil forensik video. Jangan biarkan isu panas sekejap kemudian hilang tanpa penjelasan,” tegasnya.
Beliau turut menyentuh dakwaan yang mengaitkan beberapa individu berprofil tinggi termasuk isu tular melibatkan video Sofia Rini serta laporan polis yang telah dibuat, sambil menegaskan siasatan perlu dijalankan secara telus tanpa memilih bulu.
Tambahnya, prinsip keadilan mesti ditegakkan sama ada dakwaan tersebut benar atau sebaliknya dengan tindakan jelas bagi mengelakkan rakyat terus berada dalam kekeliruan.
Dalam pada itu, Ibrahim turut mendesak agar kes-kes yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan menimbulkan keraguan dibuka semula untuk semakan.
“SPRM tidak boleh menjadi tempat menyimpan fail panas sehingga rakyat lupa atau alat menekan lawan politik tetapi, berlembut terhadap pihak berkepentingan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan tiga langkah segera iaitu menggubal undang-undang meletakkan SPRM di bawah Parlimen, menubuhkan panel bebas bagi menyemak kes berprofil tinggi, serta mengumumkan perkembangan siasatan kes-kes utama secara berkala kepada rakyat.
Ibrahim turut mengingatkan kerajaan supaya membuktikan komitmen reformasi, bukan sekadar retorik politik.
“Reformasi bukan slogan, tetapi keberanian memotong kuasa sendiri demi kepentingan negara,” ujarnya.
Tegasnya, Putra tidak menentang pelantikan Abdul Halim secara peribadi, namun menolak pendekatan kosmetik tanpa perubahan struktur.
“Rasuah ialah kanser negara. Jika SPRM gagal bebas, negara gagal bersih,” katanya.
Beliau menegaskan pendirian parti itu agar SPRM diletakkan di bawah Parlimen, pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya dipercepatkan, serta semua dakwaan berprofil tinggi disiasat tanpa rasa takut atau pilih kasih. – MalaysiaGazette
















