Dr Khairil Anwar Razali.

JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mencadangkan Model Asas Kebajikan Rakyat (MAKRa) diperkenal dalam menangani isu kos sara hidup.

Bendahari Pejuang Johor, Dr Khairil Anwar Razali berkata, pendekatan MAKRa adalah bersifat menyeluruh yang mengintegrasikan kestabilan harga sebagai langkah jangka pendek.

“Ini juga satu reformasi rantaian bekalan melalui pengurangan orang tengah, digitalisasi logistik dan pengukuhan pengeluaran tempatan bagi mengurangkan kebergantungan import serta perlindungan sosial bersasar menggunakan data Padu dan e-Kasih.

“Tujuannya supaya bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MAKRa adalah satu mekanisme membantu golongan sasar kerana langkah intervensi harga bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup seperti yang dilakukan menerusi Program Jualan Rahmah didakwa mempunyai kelemahan.

Beliau mengakui Program Jualan Rahmah sememangnya memberi kelegaan segera, khususnya kepada golongan B40 dan M40, dengan menawarkan barangan asas pada harga lebih rendah.

Malah, katanya, kajian juga menunjukkan bahawa isi rumah mampu menjimatkan sehingga 25 peratus perbelanjaan bulanan melalui program itu, sekali gus membantu menstabilkan perbelanjaan harian rakyat.

Namun, ujar beliau, Pejuang Johor berpandangan bahawa keberkesanan inisiatif itu adalah terhad sekiranya hanya bergantung kepada subsidi kerajaan dan pengurangan margin keuntungan peruncit.

Pendekatan itu, katanya, berisiko menekan kedudukan fiskal negara serta menjejaskan insentif perniagaan dalam jangka panjang.

“Lebih membimbangkan, terdapat keadaan di mana program ini dibatalkan atas faktor politik, sekali gus menimbulkan persepsi bahawa ia berpotensi menjadi gimik semata-mata dan tidak dilaksanakan secara konsisten demi kepentingan rakyat.

“Dalam masa yang sama, rakyat terus berdepan dengan cabaran sebenar iaitu peningkatan kos logistik yang ketara susulan kenaikan harga diesel, yang memberi kesan langsung kepada kos pengangkutan dan seterusnya mendorong kenaikan harga barangan asas,” ujarnya.

Keadaan itu, katanya, membuktikan bahawa intervensi harga sahaja tidak mencukupi untuk menangani isu kos sara hidup yang semakin kompleks dan berakar umbi dalam struktur ekonomi negara.

“Pejuang Johor menegaskan bahawa dasar kebajikan rakyat tidak boleh bersifat sementara atau bermusim, sebaliknya perlu berasaskan reformasi struktur yang komprehensif, inklusif dan berdaya tahan,” katanya.

Tambah beliau, Program Jualan Rahmah harus dilihat sebagai langkah kelegaan segera, namun bukan penyelesaian jangka panjang.

“Transformasi kepada pendekatan seperti MAKRa adalah penting bagi memastikan kebajikan rakyat terus terjamin secara mampan dan tidak dipengaruhi kepentingan politik jangka pendek,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast