Shahrin Awaluddin

MAKKAH – Jemaah haji Malaysia, khususnya golongan muda dinasihatkan sentiasa fokus beribadat semasa berada di Tanah Suci dan tidak asyik menggunakan platform media sosial sehingga boleh melalaikan terutama ketika masyair atau kemuncak ibadah haji.

Pengarah Operasi Bimbingan Haji Lembaga Tabung Haji, Shahrin Awaluddin berkata, ibadah haji merupakan perjalanan agung atau kemuncak ibadat bagi umat Islam dan mungkin menjadi yang pertama dan terakhir.

Lantaran itu, setiap jemaah perlu mengerjakan ibadat secara bersungguh-sungguh.

Tegasnya, ibadah ini bukan sekadar mendapat title haji, menyelesaikan rukun haji tetapi ia seharusnya menjadikan umat Islam menjadi lebih baik dari sebelumnya.

“Haji ni bermaksudnya qasad, maknanya dia kena fokus, bila kita datang ke sini, jemaah kena menumpukan ibadah secara menyeluruh dan sepenuhnya, bukan sambil-sambil.

“Kalau kita berada di Tanah Suci sama ada di Makkah atau di Madinah dan sibuk dengan media sosial kita akan rugi, apatah lagi ketika kita melaksanakan tawaf dan saie. Di Arafah pula saat penting kita mendekatkan diri kepada Allah.

“Inilah masa untuk kita beribadat, bertaubat, bermunajat dan berdoa kepada Allah SWT. Inilah tempatnya yang paling baik.

“Jika Nabi Muhammad berjaya membentuk masyarakat jahiliah dulu…daripada seteruk-teruknya daripada kita kepada menjadi lebih baik. Maksudnya dari segi tempat, timingnya, lokasi memang di Tanah Suci ini adalah tempat terbaik untuk kita merubah diri sebab itu kita perlu tahu matlamat kita, bukan di dunia tetapi di akhirat dan syurga,” katanya.

Bagaimanapun, Shahrin berkata, ini bukan bermakna jemaah haji tidak boleh menggunakan media sosial tetapi mereka kena bijak.

Dalam pada itu ditanya kegusaran keluarga jemaah haji tentang keadaan ibu atau bapa mereka di sini, Shahrin berkata, pengurusan operasi TH di sini  melibatkan semua aspek, bukan hanya membimbing melaksanakan ibadah tetapi juga kebajikan, penginapan dan pengangkutan.

“Kalau ada jemaah sakit ke, kita ada pembimbing yang akan membantu jemaah menyempurnakan ibadatnya.

“Keluarga tidak perlu bimbang, semua jemaah ada petugas yang akan membantu dari segi kebajikan, kesihatan dan ibadatnya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast