KUALA LUMPUR – Melaka sudah bersedia!
Itu kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Menurutnya, antara agenda semasa menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam semestinya yang menjadi perhatian ialah persiapan UMNO menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk perkembangan politik semasa dan momentum denyut nadi rakyat di lapangan.
“Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, saya membawa bersama suara akar umbi Melaka termasuklah reaksi, teguran dan aspirasi ahli serta rakyat Melaka.
“Bagi saya, politik bukan sekadar soal menang pilihan raya. Kemenangan mesti membawa manfaat kepada rakyat termasuk peluang ekonomi, menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan kesan pembangunan yang boleh dinikmati,” katanya dalam kenyataan media sosialnya hari ini.
Menurut Ab Rauf, UMNO mesti terus menjadi parti yang dekat dengan rakyat, kuat di akar umbi dan teguh membawa suara Melayu serta kepentingan semua rakyat.
“Kita belajar daripada pengalaman, kita perkemas gerak kerja, kita satukan saf kepimpinan dan akar umbi untuk memastikan ‘gelombang biru’ pada PRN Johor dan Negeri Sembilan akan turut melanda di negeri Melaka. – MalaysiaGazette
















