PONTIAN – Dua kelindan warga asing maut selepas lori dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori lain di Kilometer 51 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 1.10 tengah hari melibatkan lori jenis Isuzu kargo dan lori Isuzu Luton lima tan.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila Isuzu kargo dipandu seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun bersama-sama penumpang iaitu lelaki warga asing dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Batu Pahat.
“Apabila tiba di tempat kejadian Isuzu Kargo berkenaan hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Isuzu Luton dipandu seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun.
“Turut bersama-sama dalam Isuzu Luton adalah dua penumpang iaitu dua lelaki warga asing berusia 49 dan 32 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut penumpang Isuzu Luton cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu dan seorang lagi penumpangnya cedera ringan.
Katanya, penumpang Isuzu kargo pula cedera parah dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Pontian manakala pemandunya cedera ringan.
“Pihak polis sudah menahan pemandu lori terbabit dan kenderaan sudah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Saringan awal air kencing terhadap pemandu Isuzu kargo mendapati negatif,” katanya.
Hadzrat Hussien memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Αkta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000.
Tambahnya, ini termasuk hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh sehingga lima tahun.
Beliau meminta saksi kejadian tersebut untuk tampil ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian atau menghubungi Inspektor S Roshini 016-2553983 untuk membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















