KULAI – Seorang jurutera maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 22.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 2.45 pagi.
“Kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha, sebuah kereta jenis Naza dan sebuah kenderaan yang tidak diketahui jenis serta nombor pendaftarannya.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa yang berusia 31 tahun melanggar bahagian belakang kenderaan jenis Naza yang berhenti di lorong kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut mangsa tercampak ke lorong kanan jalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan lain yang tidak dikenal pasti itu.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut beliau, pemandu kenderaan jenis Naza iaitu lelaki warga tempatan berusia 71 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Polis sedang giat mengesan kenderaan yang terlibat itu bagi membantu siasatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Firdaus Mustaffa 011-26081008 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette
















