Azlan Shah (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menjadi keldai akaun.

JOHOR BAHRU – Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan jualan dan pelaburan dalam talian.

Azlan Shah Shahrim Effendy, 30, dan Muhammad Dafy Irfan Mohd Asmadi, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee dan Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, Azlan Shah yang tidak bekerja didakwa menggunakan akaun sebuah bank atas nama Huatai Wholesale Trading miliknya bagi menerima transaksi berjumlah RM51,000 tanpa maksud yang sah.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Horizon Hills, Iskandar Puteri antara 8 hingga 12 Mei tahun lalu.

Lelaki itu didakwa Seksyen 424C (1) Kanun Keseksaan yang boleh didenda sehingga RM150,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Muhammad Dafy Irfan yang bekerja sebagai pembantu gerai makan didakwa atas pertuduhan pilihan kerana secara tidak jujur menolong mengalihkan wang berjumlah RM700 milik seorang lelaki ke dalam akaun bank miliknya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Nusa Bestari 9/8, Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri pada 31 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Syafiqah Sha’ari dan Nur Diyana Zubir, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan Muhammad Dafy Irfan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan manakala tiada jaminan dibenarkan ke atas Azlan Shah kerana sedang menjalani hukuman penjara bagi kes berasingan.

Tarikh 4 Mei dan 4 Jun ditetapkan bagi sebutan semula bagi kedua-dua kes berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast