SEGAMAT – Dua pengarah syarikat mengaku bersalah atas pertuduhan menguruskan sisa terjadual secara haram di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, pertuduhan melibatkan pengurusan buangan terjadual kod SW110 (sisa elektrik dan elektronik) di Kawasan Perindustrian Segamat 2.
Menurutnya, pengarah syarikat You Peng (M) Sdn Bhd, Teh Choon Kian, 53, mengaku bersalah di hadapan Hakim Rahimah Abd Majid atas empat pertuduhan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Tertuduh dihukum penjara satu hari dan denda RM100,000 mengikut Seksyen 34B(1)(a) bagi kesalahan menempatkan buangan terjadual tanpa kelulusan serta denda tambahan RM50,000 bagi kesalahan mengendalikan premis tanpa lesen di bawah Seksyen 18(1) dan 19(1)(a) akta sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Choon Kian turut dihukum pelucuthakan 400 tan metrik (MT) barangan kes buangan terjadual SW110 kepada kerajaan.
Dalam kes berasingan di lokasi sama, syarikat pengangkutan Vertex Mission Sdn Bhd bersama-sama pengarahnya, Yeah Hock Heng didenda RM100,000 atas pengakuan bersalah bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 18(1A).
Mohd Famey berkata, syarikat berkenaan didapati menggunakan kenderaan berat bagi pergerakan sisa terjadual tanpa lesen pembawa yang sah.
“Mahkamah turut memerintahkan dua buah lori bersama muatan 31 tan metrik sisa tersebut dilucuthakkan kepada kerajaan,” katanya.- MalaysiaGazette
















