JOHOR BAHRU – Kerajaan perlu segera memberikan garis masa yang jelas bagi perlaksanaan Malaysian Health Insurance and Takaful Initiative (MHIT) sekali gus memastikannya berfungsi secara efektif.
Timbalan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Zainuddin Adan berkata, ini kerana MHIT yang diumumkan penubuhannya pada Januari lalu masih belum menunjukkan fungsinya sedangkan peningkatan kos perubatan terus berlaku.
Jelasnya, penubuhan MHIT adalah langkah untuk memantau harga ubat, kos rawatan, caj hospital swasta dan premium insurans.
“Sehingga kini pelaksanaan MHIT masih belum jelas. Pejuang Johor menegaskan bahawa kelewatan ini tidak boleh diterima kerana rakyat sedang berhadapan dengan tekanan kos yang semakin meningkat setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Pejuang Johor memandang serius pengumuman Menteri Kesihatan berhubung peningkatan kos perubatan sehingga 40 hingga 50 peratus yang jelas memberi kesan besar terhadap kehidupan rakyat khususnya golongan B40 dan M40.
Dakwanya, kenaikan harga ubat asas sehingga 30 hingga 40 peratus serta peranti perubatan antara 50 hingga 100 peratus bukan sahaja membebankan pesakit, malah menimbulkan kebimbangan terhadap akses kepada rawatan yang berkualiti dan berterusan.
Sehubungan itu, ujarnya, Pejuang Johor mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan yang konkrit dan berfokus kepada kepentingan rakyat.
Pertama, katanya, menetapkan harga siling bagi ubat-ubatan asas untuk mengelakkan kenaikan melampau di pasaran serta menyediakan subsidi bersasar khusus kepada pesakit kronik dalam kalangan B40 dan M40.
Selain itu, tambahnya, mewujudkan stok penimbal nasional bagi memastikan bekalan ubat sentiasa mencukupi dan stabil; memperkenalkan portal ketelusan harga di bawah Kementerian Kesihatan bagi membolehkan rakyat membuat perbandingan kos rawatan dan ubat serta memperkukuh pengeluaran ubat generik tempatan melalui insentif penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Dalam masa sama, ujarnya, menyediakan subsidi logistik bagi pengangkutan farmaseutikal untuk mengurangkan kos rantaian bekalan; menggalakkan kerjasama strategik antara universiti dan industri dalam pembangunan ubat asas dan memperluaskan perlindungan pesakit melalui inisiatif seperti telepharmacy dan klinik komuniti bagi meningkatkan akses kepada rawatan.
Pejuang Johor menegaskan bahawa kesihatan rakyat tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada pasaran global atau alasan kenaikan kos bahan api semata-mata.
Kerajaan, katanya, perlu mengambil tindakan segera, berani dan menyeluruh untuk memastikan sistem kesihatan negara kekal adil, mampu milik dan berdaya tahan.
“Kesihatan rakyat adalah tanggungjawab bersama dan kerajaan wajib memastikan tiada rakyat yang tercicir hanya kerana tidak mampu menanggung kos rawatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















