JOHOR BAHRU – Seramai 39 warga asing yang bekerja sebagai pelayan dan tukang masak diberkas dalam Ops Selera di pusat beli-belah di bandar raya ini, kelmarin.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, semua warga asing berusia lingkungan 19 hingga 46 tahun yang bekerja premis makanan dalam pusat beli-belah berkenaan.
“Operasi yang bermula pada pukul 2 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguat kuyasa Negeri Johor menyasarkan premis makanan sekitar kawasan Johor Bahru yang didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Bertindak atas maklumat awam dan risikan, operasi yang dijalankan serentak ke atas beberapa buah premis makanan berjaya mengesan kehadiran warga asing bekerja tanpa pas yang sah dan menyalahgunakan kemudahan pas lawatan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai 39 warga asing ditahan terdiri daripada 20 lelaki Myanmar, 10 lelaki Bangladesh, dua lelaki Indonesia, seorang wanita Bangladesh dan enam wanita Myanmar.
Mohd Rusdi memberitahu, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika, di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut, katanya.
Tambahnya, sebanyak empat keping borang 29 iaitu saman kepada saksi sudah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.
Ujarnya, seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai bekerja sebagai pengurus sumber manusia turut ditahan.
“JIM Johor menegaskan bahawa tiada toleransi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara dan pihak berkuasa akan terus menjalankan operasi bagi mengekang kegiatan seumpama ini,” katanya.
Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan mereka.- MalaysiaGazette
















