Harga runcit bahan api bagi tempoh 30 April hingga 6 Mei 2026 - MOF

KUALA LUMPUR – Harga RON97 naik lima sen seliter kepada RM4.90 manakala RON95 (tanpa subsidi) naik 10 sen kepada RM3.97 sementara harga diesel di Semenanjung kekal RM5.12 seliter bagi tempoh 30 April hingga 6 Mei 2026.

Kementerian Kewangan berkata, harga petroleum yang kekal tinggi berbanding paras prakonflik turut dibelenggu oleh kekangan bekalan minyak dan produk petroleum global.

Ini kerana kerosakan kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di Asia Barat memerlukan masa untuk dipulihkan.

Justeru katanya, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus menggunakan bahan api secara berhemat bagi membantu memperkukuh kestabilan bekalan negara.

“Dengan risiko konflik yang kekal tinggi dan hala tuju pasaran yang masih sukar dijangka, harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi diselaraskan berikutan pergerakan harga pasaran antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan masih mengekalkan harga bahan api bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu.

Ini menyaksikan RON95 bersubsidi (BUDI95) kekal RM1.99 seliter; diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter; Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (RM2.05 seliter) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (RM2.15 seliter).

Kerajaan katanya akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast