Anthony Loke hadir China-Malaysia Readers Forum on the English Edition of Xi Jinping: The Governance of China (Volume V) di InterContinental Kuala Lumpur di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – DAP menghargai keputusan Biro Politik UMNO yang terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara di negeri itu.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, kenyataan biro itu senada dengan pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dimaklumkan kepada Kabinet semalam.

Tegas beliau, ia turut memberi maksud Kerajaan Perpaduan kekal mentadbir di Negeri Sembilan sehingga kini walaupun 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) didakwa hilang kepercayan kepada Menteri Besar.

“Maksud Presiden UMNO pun tidak bersetuju untuk penubuhan kerajaan baharu atau tebuk atap. Jadi maksudnya kerajaan sedia ada ini kekal. Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan ini kekal untuk memastikan kestabilan dan kelangsungan perjalanan pentadbiran di peringkat negeri.

“Jadi saya rasa kalau itu dapat diperjelaskan, ia akan membantu keadaan untuk meredakan keadaan. Memang kita tahu ada isu yang belum selesai di antara institusi Yang di-Pertuan Besar dengan Datuk Undang-Undang dan itu ada sesuatu yang di luar kawalan kita.

“Itu perlulah diselesaikan dengan baik dalam institusi tersebut dan kita tak boleh masuk campur. Bagi kita di peringkat kerajaan ialah memastikan kerajaan berjalan seperti biasa.

“Menteri Besar, Ahli-ahli Exco, Ahli-ahli Undangan Negeri mereka berfungsi seperti biasa, bekerja seperti biasa dan itu saya rasa dapat memastikan kestabilan itu dapat dijamin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri China-Malaysia Readers Forum on the English Edition of Xi Jinping: The Governance of China (Volume V) di InterContinental Kuala Lumpur di sini hari ini.

Anthony Loke (dua dari kiri) hadir China-Malaysia Readers Forum on the English Edition of Xi Jinping: The Governance of China (Volume V) di
InterContinental Kuala Lumpur di sini hari ini.

Diminta pandangnya tentang salah seorang ADUN BN Negeri Sembilan yang juga merupakan Menteri Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan, Anthony berkata, soalan itu perlu dirujuk kepada pemimpin berkenaan.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, satu pertemuan antara Biro Politik UMNO dan Pakatan Harapan (PH) harus diadakan segera bagi merungkai beberapa isu melibatkan prinsip perjuangan parti masing-masing.

Beliau berkata, perkara itu seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman pembentukan Kerajaan Perpaduan yang menuntut isu dasar diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan, yang diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO Malaysia bagi membincangkan kemelut politik di Negeri Sembilan malam tadi.

Asyraf Wajdi berkata UMNO memandang serius perkembangan mutakhir melibatkan kemelut institusi diraja dan adat Negeri Sembilan hingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius dalam kalangan anggota komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

“UMNO telah mendengar penjelasan tuntas daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan (Datuk Seri Jalaluddin Alias) mengenai tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan (Datuk Seri Aminuddin Harun) kerana sikap beliau membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.

“UMNO berpendirian untuk menghormati ADUN BN yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, namun terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat berakhir.

Asyraf Wajdi berkata UMNO sentiasa berpegang teguh kepada asas Perlembagaan parti menurut Fasal 3.1 yang sentiasa mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan negara.

China-Malaysia Readers Forum on the English Edition of Xi Jinping: The Governance of China (Volume V) berlangsung di
InterContinental Kuala Lumpur di sini hari ini.

Isnin lepas, kesemua 14 ADUN UMNO dan BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.

Ia susulan kemelut pemerintahan yang berlaku dan pemakluman rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Setiausaha DUN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa Aminuddin akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai Menteri Besar seperti dititahkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast