KUALA LUMPUR – Program Beautiful Malaysia 2026 anjuran JK Prestige dan FM Group terus memperkukuh peranannya sebagai platform strategik dalam mempromosikan industri pelancongan tempatan melalui pendekatan budaya yang lebih segar, interaktif dan inklusif.
Menurut penganjur program, Jonathan, penganjuran tahun ini dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia mengangkat tema Perpaduan Warisan yang menggabungkan pelbagai elemen budaya Malaysia.
Menurut beliau, ia bermula daripada busana tradisional, makanan, seni kraf hingga gaya hidup dalam dunia yang serba moden ini.
“Beautiful Malaysia 2026 bukan sekadar acara tetapi sebuah ‘mini Malaysia experience’ dalam satu lokasi di mana para pelancong dapat merasai kepelbagaian budaya negara dalam masa yang singkat sebelum mereka meneroka destinasi sebenar di seluruh Malaysia.
“Pendekatan ini selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, di mana program ini bertindak sebagai pintu masuk awal kepada pelancong tempatan dan antarabangsa untuk memahami identiti Malaysia secara lebih dekat,” katanya dalam kenyataan.
Salah satu segmen istimewa dalam program Beautiful Malaysia itu adalah warisan seni telepuk yang kian menghilang dan semakin dilupakan.

Menurut seorang lagi wakil penganjut Farel Mikhail yang juga wakil penganjur, warisan itu bukan sahaja dipamerkan tetapi dihidupkan semula menerusi pelbagai cara seperti bengkel hands-on selama tiga hari, demonstrasi teknik asli, interaksi langsung bersama pakar warisan dan sebagainya.
Menurut beliau, inisiatif ini bukan sahaja menarik minat pelancong, tetapi turut berperanan dalam pemuliharaan seni tradisional agar tidak pupus ditelan zaman.
“Kepelbagaian ini membuktikan bahawa program berasaskan budaya mampu menjadi produk pelancongan inklusif yang menarik minat semua lapisan masyarakat.
“Apa yang penting, program ini sebenarnya bukan sekadar mempamerkan budaya, tetapi menjenamakan semula warisan agar relevan dengan generasi muda.
“Warisan seperti seni telepuk perlu diberi nafas baharu. Dengan penglibatan pelajar dan institusi pendidikan, kita bukan sahaja mempromosikan budaya kepada pelancong, tetapi juga memastikan kelangsungannya untuk masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette
















