PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia ‘bertuah’ kerana bekalan minyak dan gas negara kekal terjamin walaupun dunia berdepan ketidaktentuan pasaran tenaga ketika ini.
Beliau berkata, jaminan tersebut disokong hubungan diplomatik baik Malaysia dengan beberapa negara pengeluar tenaga selain kerjasama strategik bersama Petronas.
“Kita bernasib baik, Malaysia antara negara yang terjamin bekalan dan gasnya. Hubungan baik kita dengan Iran, Rusia dan Turkmenistan memberikan kita jaminan bekalan.
“Jadi, dari segi bekalan kita tiada masalah tetapi cabarannya adalah harga yang meningkat di luar kawalan kita,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menurut Anwar, walaupun bekalan stabil, kerajaan tetap berdepan tekanan kenaikan harga minyak dunia yang memberi kesan langsung kepada kos subsidi bahan api negara.
Katanya, perkembangan geopolitik global dan gangguan rantaian bekalan memaksa kerajaan menyeimbangkan keperluan melindungi rakyat dengan kedudukan fiskal negara.
Berdasarkan taklimat Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis, Tan Sri Hassan Marican, hubungan diplomatik kukuh dengan negara pengeluar utama membantu Malaysia mengekalkan kestabilan bekalan minyak dan gas.
Beliau turut mendedahkan hubungan akrab dengan kepimpinan Iran dan Rusia selain hubungan lama dengan Turkmenistan serta Uzbekistan, telah membuahkan hasil dalam bentuk jaminan bekalan tenaga kepada Malaysia.
“Oleh kerana kita berbaik dengan Iran, di antara negara yang mula diberi laluan, Malaysia. Setelah Presiden Iran menghubungi dan memaklumkan kepada saya. Dengan Rusia kita ada hubungan baik.
“Dengan Turkmenistan, Uzbekistan yang kita ada hubungan yang baik sekian lama, beri jaminan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, kerajaan perlu mengawal kesan kenaikan harga agar tidak membebankan rakyat termasuk mengekalkan harga RON95 serta menyelaras subsidi diesel secara bersasar.
“Kita terpaksa berdepan dengan harga minyak di Malaysia. Malaysia masih pertahankan RON95. Sebab itu saya datang tadi tengok belakang masih senyum.
“Katalah naik RON95, saya percaya senyuman pun sudah tawar (ketawa). Jadi masih lagi senyum. Cuma kita turunkan daripada 300 ke 200… (merujuk BUDI95),” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















