Mohd Ridzuan Abdullah tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi menghadapi pertuduhan membuat tohmahan terhadap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan mengaitkan institusi agama itu dengan isu bayaran tunggakan pembinaan masjid. 4 MEI 2026. SADIQ SANI.

PUTRAJAYA – Seorang aktivis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat tohmahan terhadap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan mengaitkan institusi agama itu dengan isu bayaran tunggakan pembinaan masjid, tiga minggu lalu.

Ahli perniagaan, Mohd Ridzuan Abdullah, 58, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Ezrene Zakariah.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa membuat tohmahan dengan mempunyai sebab untuk mempercayai pertuturannya akan merosakkan reputasi MAIS.

Perkataan berkenaan mengaitkan kontraktor, majlis berkenaan dan masjid dengan tunggakan hutang selain dakwaan memperguna nama istana.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bangunan Perdana, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, pukul 1 petang 13 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Sazali Omar mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira pertuduhan melibatkan tohmahan terhadap institusi agama negeri malah terdapat isu 3R dibangkitkan dalam kes berkenaan.

“Oleh itu, kami mohon dikenakan jaminan yang tinggi bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling.

Bagaimanapun, peguam, T. Ravindran yang mewakili tertuduh, merayu supaya anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

Menurutnya, Mohd Ridzuan hanya menjual produk kesihatan dan pernah dijangkiti virus, Jun tahun lalu.

“Pendapatannya umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ selain perlu menyara keluarga bersama isteri yang juga seorang suri rumah.

“Dia merupakan bekas calon Parlimen Kuala Langat pada Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022, sekali gus menunjukkan dia akan memenuhi semua syarat yang ditetapkan mahkamah,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Ezrene membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 22 Jun ini..

Pada 16 April lalu, MAIS memberitahu mahu mengambil tindakan termasuk memfailkan saman fitnah terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan tidak benar berhubung isu tunggakan bayaran projek pembinaan Masjid Al-Madaniah, Subang, Selangor.

Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini mengulas demikian selepas penularan video di aplikasi TikTok yang mendakwa berlaku tunggakan bayaran serta salah urus dalam majlis itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast