Warga asing yang ditahan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) Arah Selatan.

KUALA LUMPUR – Majikan yang menggajikan warga asing menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) milik syarikat lain serta menyalahgunakan pas lawatan sosial bagi mengaburi pihak berkuasa berjaya dibongkar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi bersepadu, hari ini.

Taktik licik itu dikesan menerusi serbuan di premis perniagaan dan kios di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) Arah Selatan bagi mengesan warga asing yang bekerja tanpa permit.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan dilakukan berdasarkan aduan awam dan risikan selama seminggu dengan memeriksa seramai 39 individu melibatkan 27 warga asing dan 12 warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan, seramai 20 warga asing berusia di antara 23 hingga 40 tahun telah ditahan terdiri daripada 11 lelaki dan tujuh perempuan warga Indonesia serta dua lelaki warga Bangladesh.

“Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Selain itu, lima Borang 29 (Saman kepada Saksi) telah dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Warga asing yang ditahan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) Arah Selatan.

Tambah beliau, kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Terdahulu katanya, operasi itu melibatkan seramai 30 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya dengan dibantu oleh Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram, tinggal lebih masa dan yang menyalahgunakan pas di negara ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast