Undang Luak Sungei Ujong ke-11, Muhammad Faris Johari

KUALA LUMPUR – Muhammad Faris Johari dilantik sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang baharu.

Perkara itu diumumkan Waris Nan Tua Klana Hulu Datuk Shaharumzaman Abdul Malek bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-Waris Klana Hulu dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pemilihan dan pelantikan Muhammad Faris yang merupakan akauntan berusia 29 tahun sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 dibuat dalam istiadat kerapatan di Telaga Undang pada 22 April lalu.

Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Ibu Soko Waris Negeri, Waris Negeri, Datuk Lembaga Lingkungan, Buapak Lingkungan dan pegawai kerajaan.

“Pemilihan mengikut salasilah pada Fasal ke-27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910 dan hukum adat ‘patah tumbuh’ termaktub pada Fasal 5 Undang-undang Sungei Ujong,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan Fasal 48 (VI) Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910, pelantikan tersebut disahkan oleh Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim Tua Lembaga Waris di-Darat yang sah dan diiktiraf kerajaan Negeri Sembilan.

Aturan adat menjadikan Datuk Klana Petra dibuat tanpa campur tangan pihak luar, selaras Fasal 14 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Sebelum ini Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak dilaporkan telah dipecat daripada jawatannya malah turut diperakui oleh kerajaan negeri.

Beliau bersama tiga Undang lain telah mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kenyataannya pada 20 April lalu menjelaskan bahawa tindakan Mubarak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz tidak boleh diterima atau diiktiraf.

Ini kerana katanya, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Udang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan(UUTKNS) 1959. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.