BANGI – Seorang lelaki dipenjara tiga bulan dan denda RM5,000 selepas mengaku  bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas tuduhan membuat hantaran jelik dan melampau sifatnya terhadap Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu di aplikasi TikTok, tahun lalu.

Mohd Hafiz Haron, 42 membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Firdaus Md. Isa.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Hafiz pada 11 September 2025 jam lebih kurang 07.30 pagi, dengan menggunakan perkhidmatan aplikasi TikTok melalui akaun @muhammad.bin.abdu969 secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik melampau sifatnya dalam daerah Kajang.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta yang sama.

Tidak diwakili peguam, lelaki yang bekerja sendiri tersebut walaubagaimanapun merayu supaya hukumannya diringankan.

Menurut beliau, selain menanggung tiga orang anak dia juga menjadi tulang belakang bagi menyara ibunya yang uzur.

Terdahulu, lelaki itu ditahan polis pada 12 September tahun lalu selepas memuat naik video berunsur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu di aplikasi TikTok.

Kes berkenaan dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Mohamad Alias.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast