MELAKA – Lagi kes penunggang motosikal maut disyaki dirempuh pemandu mabuk, kali ini melibatkan ibu muda berusia 21 tahun.
Kejadian jam 3.10 pagi tadi berlaku selepas motosikal ditunggang mangsa bertembung dengan sebuah kereta yang dipercayai hilang kawalan dalam nahas di Jalan Ujong Pasir, Banda Hilir, di sini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa, Nur Aleya Natasha Roslan, 21 disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 23 tahun dari arah Banda Hilir ke Serkam dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Myvi berkenaan kemudian bertembung dengan motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan menuju ke Bandar Melaka.
“Akibatnya, penunggang motosikal beralamat di Taman Paya Dalam, Bukit Lintang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu negatif dadah, manakala sampel darah turut diambil untuk analisis lanjut.
“Kedua-dua kenderaan ditahan untuk pemeriksaan lanjut dan usaha mengesan saksi serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedang dijalankan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
Terdahulu, tular di media sosial kejadian berkenaan yang didakwa berpunca daripada pemandu kenderaan mabuk.
Ahad lalu, media melaporkan pasangan suami isteri maut dipercayai dirempuh pemandu di bawah pengaruh alkohol di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Kejadian berlaku jam 5.34 pagi Sabtu lalu berhampiran Menara Great Eastern, selepas motosikal jenis Honda Wave Alpha ditunggang pasangan suami isteri berusia 61 dan 56 tahun dirempuh kereta jenis Toyota Vios dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun.
Akibatnya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. – MalaysiaGazette
















