KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) terus kekal menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, jelas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO berkata, perkara itu sudah diputuskan oleh parti itu peringkat pusat bahawa semua Ahli Dewan Undangan Negeri parti itu tetap menyokong kerajaan negeri itu.
Jelas beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, dakwaan BN menjadi pembangkang hanya dianggap sebagai satu kenyataan sahaja.
“Kita tidak ada niat untuk jadi pembangkang, itu hanya sebuah kenyataan sahaja. Tetapi UMNO di peringkat pusat sudah memutuskan bahawa ADUN di Negeri Sembilan tetap menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” katanya kepada media selepas menghadiri perhimpunan Kami Gen Mara di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid Hamidi turut mengesahkan tiada sebarang keputusan berkaitan pengganti Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya bersedia menghadapi sebarang pilihan pilihan raya mengejut di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dibubarkan dalam masa terdekat.
“Semua parti telah bersiap sedia dan yang paling penting apabila mandat diberikan kepada rakyat semula, maka rakyat harus memilih kombinasi yang terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette
















