KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan kerajaan ditahan polis kerana disyaki terlibat kes pecah rumah di kawasan Tanjung Batu Tengah, Tawau bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.45 pagi tadi di tepi Jalan Tungku, Felda Sabahat, Lahad Datu, semalam.
Menurutnya, kes itu terbongkar apabila mangsa yang juga seorang wanita tempatan berusia 61 tahun membuat laporan di Balai Polis Tawau, 26 Mac lalu selepas mendapati rumahnya dimasuki individu tidak dikenali.
“Kejadian disedari mangsa selepas pulang ke rumah pada malam 25 Mac sebelum mendapati jeriji besi jendela belakang telah dirosakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, antara barang yang dilaporkan hilang termasuk dua komputer riba, sebuah televisyen 60 inci, jam tangan, beberapa pasang kasut, beg tangan serta barangan peribadi lain.
“Hasil tangkapan, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kes termasuk komputer riba, jam tangan, beg dan sebuah telefon bimbit,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak polis memandang serius jenayah pecah rumah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat.
Beliau turut dinasihatkan supaya sentiasa meningkatkan tahap keselamatan kediaman serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.-MalaysiaGazette
















