KOTA KINABALU – Kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan TalentBank terus diperkukuh dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan menerusi penganjuran program UMS Job Fest 2026 baru-baru ini.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, penglibatan TalentBank bersama rakan industri dalam program tersebut mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam pembangunan bakat serta menyokong agenda pembinaan negara.
Menurut beliau, kolaborasi antara universiti dan industri perlu dilaksanakan secara terancang, berterusan dan berpandangan jauh bagi memastikan graduan bukan sahaja memperoleh pekerjaan, malah benar-benar memenuhi keperluan semasa industri.
“Kerjasama ini penting untuk memastikan graduan kita selari dengan kehendak pasaran kerja serta mampu menyumbang secara efektif sebaik melangkah ke alam pekerjaan.
“UMS bukan sahaja memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik, malah memastikan graduannya bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin dinamik dan kompleks,” katanya dalam ucapan sempena majlis perasmian program tersebut.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Dr. Raman Noordin.
Tambah Kasim, usaha tersebut terbukti melalui pencapaian kadar kebolehpasaran graduan UMS yang mencecah 98.6 peratus, sekali gus mencerminkan keberkesanan pendekatan universiti dalam melahirkan graduan berkualiti.
“Namun, kejayaan tidak hanya diukur melalui angka, tetapi lebih penting adalah keupayaan graduan untuk berfikir secara kritis, berkomunikasi dengan berkesan dan kekal relevan dalam landskap yang sentiasa berubah.
“Usaha merapatkan jurang antara pendidikan dan industri akan terus diperkasa demi melahirkan graduan yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TalentBank, Ben Ho berkata, pelajar yang hadir secara fizikal ke program ini mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapatkan pekerjaan berbanding mereka yang memohon secara dalam talian.
“Interaksi secara bersemuka membolehkan pelajar memperoleh maklum balas secara langsung daripada pihak industri, sekali gus memberi kelebihan dari segi pengalaman serta pemahaman terhadap peluang kerjaya yang ditawarkan,” ujarnya.
Pada majlis itu, Raman turut menerima Anugerah Graduate Employability Awards 2026 bagi pihak UMS yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TalentBank, Ben Ho.
Lebih 20 syarikat industri terlibat dalam menjayakan program tersebut menerusi penyediaan peluang pekerjaan dan latihan industri, serta sesi interaksi bersama para pengunjung menerusi ceramah kerjaya dan perkongsian industri.
















