JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor menggesa agar sebarang pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara) 1966 dibahaskan secara teliti dan inklusif di Parlimen melibatkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan.
Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman berkata, penggubalan semula akta ini perlu dilaksana dengan penuh tanggungjawab, keseimbangan dan kepekaan terhadap realiti semasa.
Jelasnya, ini bagi memastikan Mara terus kekal sebagai benteng sosial rakyat di samping menjadi institusi yang cekap, berintegriti, berdaya saing dan mampan untuk generasi akan datang.
“Oleh itu, sebarang perubahan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa atau berorientasikan keuntungan semata-mata sehingga menghakis nilai mesra rakyat yang menjadi asas penubuhannya.
“Mara bukan sekadar sebuah entiti ekonomi tetapi merupakan institusi amanah rakyat yang membawa harapan besar kepada golongan Bumiputera,” katanya dalam kenyataan.
Pada 3 Mei lalu, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, pindaan Akta Mara kini di peringkat akhir, memberi tumpuan kepada keperluan termasuk memperluas mandat, memperkukuh tadbir urus berteraskan integriti dan kekal menjunjung aspirasi Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, Asyraf Wadi menjelaskan akta sedia ada tidak begitu menyentuh mengenai pengasingan kuasa dalam organisasi atau tadbir urus sesebuah institusi.
Katanya, draf pindaan akta sudah disiapkan dan dalam fasa libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Ekonomi serta pihak berkaitan hal ehwal undang-undang.
Mengulas lanjut, Suraya berkata, Pejuang Johor menegaskan bahawa cadangan pindaan itu merupakan satu langkah strategik yang amat penting dalam memastikan keseimbangan antara agenda sosial bumiputera dan keperluan kecekapan serta ketelusan korporat dalam pengurusan institusi awam.
Sejak penubuhannya kata beliau, Mara sudah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memperkasa pendidikan, latihan teknikal, serta pembangunan keusahawanan Bumiputera di seluruh negara.
Mara katanya, bukan sahaja menjadi pemangkin mobiliti sosial, malah turut membuka peluang kepada generasi muda untuk meningkatkan taraf hidup melalui akses kepada pendidikan dan ekonomi.
“Namun, dalam menghadapi perubahan landskap ekonomi global yang semakin mencabar serta dengan pengurusan aset bernilai berbilion ringgit dan ratusan institusi pendidikan termasuk rangkaian TVET, kerangka undang-undang sedia ada dilihat tidak lagi mencukupi dan perlu diperbaharui agar lebih relevan, telus dan berdaya tahan.
“Dalam konteks ini, pindaan akta perlu dilihat sebagai satu usaha menyeluruh untuk memperkukuh asas institusi MARA agar kekal kukuh pada masa hadapan,” katanya.
Antaranya ujar Suraya, termasuk memastikan agenda bumiputera terus dilindungi melalui peruntukan undang-undang yang jelas dan tidak mudah terjejas akibat perubahan politik.
Pada masa yang sama katanya, aspek tadbir urus perlu dipertingkatkan dengan lebih serius melalui pengasingan fungsi pelaburan dan audit, penambahbaikan mekanisme pemantauan serta pengukuhan sistem akauntabiliti bagi menutup ruang ketirisan dan salah guna kuasa.
Ketelusan dalam pengurusan dana awam juga perlu diberi keutamaan supaya keyakinan rakyat terhadap institusi ini terus terpelihara, katanya.
Selain itu, Suraya melihat peranan Mara kini sudah berkembang jauh melangkaui fungsi asalnya sebagai agensi pembangunan luar bandar menuntut kepada pendekatan yang lebih moden dan dinamik.
Mara hari ini katanya, berfungsi sebagai satu pemacu utama ekonomi nasional, dan justeru memerlukan kerangka undang-undang yang mampu menyokong transformasi tersebut.
Dalam masa yang sama katanya, Mara perlu bergerak ke arah kemandirian kewangan dengan memperkukuh keupayaan pelaburan strategik, meningkatkan pulangan aset, serta mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan tanpa menjejaskan mandat sosialnya.
Walau bagaimanapun, Pejuang Johor ingin menegaskan bahawa dalam usaha memperkukuh aspek korporat dan komersial, Mara tidak boleh mengabaikan fungsi terasnya sebagai institusi yang membela nasib dan masa depan bumiputera.
Tambahnya, peranan menyediakan biasiswa, latihan kemahiran, sokongan keusahawanan serta peluang pendidikan mesti terus menjadi keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
“Pada masa yang sama, disiplin korporat dalam pengurusan aset dan pelaburan perlu dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti agar Mara kekal berdaya saing dan mampan dalam jangka panjang,” katanya.- MalaysiaGazette
















