ISKANDAR PUTERI- Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bertafakur seketika bagi nemberi penghormatan kepada Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, yang maut dilanggar di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin meminta semua meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beragama Islam membacakan al-Fatihah manakala bukan Islam bertafakur sebelum beliau menjawab soalan lisan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Sebelum itu, ADUN Parit Raja, Nor Rashidah Ramli bertanya mengenai garis panduan keselamatan di kawasan sekolah susulan kejadian tersebut.
Aznan (BN- Johor Lama) berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sentiasa memberikan penekanan yang serius terhadap aspek keselamatan murid termasuk pengurusan aliran trafik di kawasan sekolah.
“Pelaksanaan ini adalah selaras dengan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institusi Pendidikan Kementerian Pendidikan (29 April 2022) yang menetapkan keperluan pengurusan pergerakan murid secara terancang, termasuk kawalan pintu masuk dan keluar serta penyusunan aliran trafik bagi memastikan keselamatan murid sentiasa terjamin.
“Selain itu, surat pekeliling ikhtisas Bil.8/1999: keselamatan diri murid dalam perjalanan pergi dan balik sekolah turut menekankan kepentingan keselamatan murid sepanjang perjalanan ke dan dari sekolah, termasuk keperluan pemantauan di kawasan pintu pagar sekolah, pengurusan tempat menunggu yang selamat serta kawalan terhadap kenderaan yang keluar masuk ke kawasan sekolah,” katanya.
Dalam kejadian pukul 2.40 tengah hari itu, Nur Aini Umairah meninggal dunia selepas dipercayai dilanggar van yang baru keluar dari sekolah selepas menghantar barang.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dilaporkan berkata, pemandu van berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan awal oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mendapati kejadian berlaku semasa van itu sedang bergerak keluar melalui pintu pagar utama sekolah.
“Semasa sedang bergerak keluar melalui pintu pagar utama sekolah untuk ke Jalan Simpang Lima Parit Sulong telah berlaku perlanggaran dengan mangsa yang sedang berjalan kaki di hadapan pintu pagar utama sekolah tersebut,” katanya.
Menurut Shahrulanuar Mushaddat, murid berkenaan yang berjalan kaki mengalami kecederaan di bahagian kepala dan organ dalaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Parit Sulong.- MalaysiaGazette
















