JAWI – Selepas empat bulan diburu polis, seorang mekanik akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas pada Disember lalu.
Tertuduh, C. Jagadesh, 34, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan lelaki itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Goh Aik Lai, 60, di BK Foodvillage Taman Jelatik, Sungai Bakap di sini, jam 4 petang pada 30 Disember 2025.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreen Zainurin manakala tertuduh diwakili peguam, M. Puveneswaran.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, kimia dan ujian padanan asid deoksiribonukleik (DNA).
Tertuduh juga tidak dibenarkan ikat jamin dan dihantar ke penjara sementara menunggu prosiding lanjut.
Difahamkan, lelaki tersebut melarikan diri ke negara jiran selepas kejadian tersebut sebelum ditahan polis pada 30 April lalu.
ARTIKEL BERKAITAN
Media pada 30 Disember lalu melaporkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di sebuah restoran makanan di Sungai Bakap di sini.
Difahamkan, masalah hutang dipercayai punca lelaki berkenaan diserang.
Susulan itu, polis menahan 14 lelaki dalam beberapa serbuan berasingan di negeri ini dan Perak bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail dalam kenyataan berkata, hasil siasatan awal mendapati semua tangkapan dipercayai ahli kongsi gelap yang aktif di Pulau Pinang.
Katanya, semakan polis juga mendapati seramai 10 daripada suspek didapati mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah. – MalaysiaGazette
















