Aznan mengadakan sidang akhbar berkenaan penubuhan jawatankuasa khas semasa sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas melibatkan aspek keselamatan di sekolah susulan murid Tahun Dua maut dilanggar  depa  Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, ini bagi menyiasat dan meningkatkan keselamatan pelajar dalam serta luar kawasan sekolah termasuk sebarang aktiviti yang dilakukan.

“Jawatankuasa khas ini juga akan melihat penyelesaian dan juga tambah baik garis panduan yang ada, mungkin di peringkat kementerian sudah ada.

“Di peringkat kerajaan negeri kita susun juga supaya kerajaan negeri lebih peka.

“Jadi menerusi jawatankuasa khas ini akan melancarkan kempen sekolah selamat bermula awal bulan depan dan akan dilakukan sepanjang tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Semalam, portal ini melaporkan Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, maut dilanggar sebuah van penghantaran barang di hadapan pagar sekolah berkenaan.

Aznan berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada melibatkan kenderaan keluar masuk ke dalam kawasan sekolah akan diperhalusi.

Ditanya sama ada SOP yang melibatkan murid keluar masuk yang tidak menggunakan pintu utama, beliau berkata, pihaknya akan melihat perkara tersebut.

Jelasnya, terdapat sekolah yang mempunyai beberapa laluan selain pintu utama kerana terdapat ramai murid dan sekolah terbabit padat.

Selain itu katanya, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan memberikan bantuan kaunseling kepada keluarga mangsa dalam membantu meringankan kesan psikologinya.

Tambahnya, bantuan juga akan disalurkan kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast