Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru menerima peruntukan RM500 juta untuk naik taraf infrasturktur.

ISKANDAR PUTERI – Pengerusi Jawatankuasa Kuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon kesal kerana isu peruntukan Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang diumumkan Perdana Menteri dipolitikkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng itu berkata, terdapat pihak yang mengadakan sidang akhbar di hadapan HSA semalam mempertikaikan peruntukan tersebut.

“Pagi semalam, ada sekumpulan kononnya wakil parti politik, berdiri di hadapan HSA mengadakan sidang media, bagus. Cuma saya nak tanya selama empat tahun ini, tidak pernah mereka muncul, tidak pernah mereka bertanya, kenapa semalam baru muncul?

“Ada apa apa kepentingan ke? Kerajaan Negeri Johor tidak pernah berpeluk tubuh.

“Walaupun kesihatan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kita memilih untuk bertindak bukan sekadar menunggu. Kita memilih untuk membantu bukan mencari alasan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Bangunan Sultan Ismail di hari ini.

Semalam beberapa pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mengadakan sidang akhbar mempersoalkan peruntukan RM500 juta untuk HSA yang diumumkan pada 3 September 2023 semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Syafiq Aziz dilaporkan berkata, peruntukan diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sudah tiga tahun lamanya tetapi keadaan infrastruktur dan kemudahan parkir di HSA masih teruk.

Mengulas lanjut, Tian Soon memberitahu, sejak Mac 2022 sehingga tahun ini, Kerajaan Negeri Johor memperuntuk lebih RM42.139 juta bagi menyokong sektor Kesihatan.

Jelasnya, jumlah itu adalah satu jumlah yang besar dan signifikan bagi sebuah kerajaan negeri dan tidak banyak negeri menyalurkan peruntukan seperti itu.

“Peruntukan ini bukan sekadar angka di atas kertas, ia diterjemahkan kepada naik taraf fasiliti, penambahan peralatan seperti transport stretcher, neurosurgery microscope, dan sokongan terus seperti menaiktaraf jabatan kecemasan dan bantuan one off pantri kepada hospital, pejabat kesihatan daerah, klinik pergigian serta klinik di seluruh Johor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast