KAJANG – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melancarkan kerangka transformasi APM Masa Hadapan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam Ke-74 (HUTPA 74) di Ibu Pejabat APM di sini hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pelancaran itu menjadi hala tuju strategik APM menuju 100 tahun penubuhannya pada 2052 berpandukan Pelan Strategik APM 2026-2030.

Lima teras utama digariskan menerusi kerangka tersebut iaitu pemerkasaan modal insan, pemodenan aset dan logistik, pembangunan pusat operasi, pengukuhan profesionalisme serta tadbir urus dan pendigitalan APM.
Dalam ucapan yang dibacakan, Ahmad Zahid berkata, APM perlu terus memperkukuh kesiapsiagaan susulan cabaran bencana yang semakin kompleks.

“Bencana hari ini semakin kompleks dan menuntut kita bergerak lebih pantas daripada dulu. We need to always be ready,” katanya.
Beliau turut menegaskan, APM bukan sekadar mengurus bencana tetapi mengurus kesiapsiagaan rakyat dan negara.
Sementara itu, Mustapha pada sidang media berkata jumlah anggota tetap APM ketika ini masih belum mencukupi namun kekurangan itu dibantu menerusi latihan sukarelawan.
“Memang daripada segi anggota masih tidak mencukupi tetapi kita latih sukarelawan untuk menampung keperluan itu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan sedang meneliti keperluan menaik taraf bangunan dan aset APM terutama di Sabah dan Sarawak bagi memperkukuh pengurusan bencana. – MalaysiaGazette
















