PPM Wilayah Dua memberkas 16 warga asing dan dua warga tempatan dalam Ops Pintas Bersepadu di Pontian dan Iskandar Puteri awal pagi tadi

PONTIAN – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua memberkas 16 warga asing dan dua warga tempatan dalam Ops Pintas Bersepadu di tiga kawasan di daerah ini dan Iskandar Puteri malam tadi.

Operasi tersebut yang disertai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri bermula pukul 12.30 malam tadi hingga 5.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, serbuan dilakukan di kawasan Rambah dan Kampung Perpat Timbul, Permas di sini serta Rambah di Iskandar Puteri.

“Serbuan dijalankan melalui risikan selama dua minggu terhadap aktiviti penyeludupan migran keluar dan masuk Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Melalui serbuan itu tangkapan dilakukan terhadap seorang lelaki warga Indonesia disyaki transporter, seorang wanita Indonesia dan seorang lelaki tempatan.

“Mereka disyaki berperanan sebagai tekong darat, penjaga, pembantu penjaga rumah penampungan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau memberitahu, turut ditahan dua lelaki Indonesia disyaki tekong bot dan seorang lelaki tempatan disyaki menjadi penarik pantai kerana terlibat kegiatan itu.

Katanya, seramai 11 warga Indonesia ditahan kerana terlibat keluar masuk Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan di kawasan tersebut.

“Dua lelaki tempatan yang ditahan itu berusia 49 dan 52 tahun manakala tangkapan 13 lelaki warga Indonesia itu berusia 20 tahun sehingga 52 tahun. Tiga wanita Indonesia itu pula berusia 29 sehingga 44 tahun,” katanya.

Hasil tangkapan itu, polis merampas dua kenderaan jenis Perodua Myvi dan Perodua Alza, sebuah bot fiber serta 17 telefon bimbit pelbagai jenama.

Jelas beliau, anggaran nilai rampasan berjumlah RM130,000.

“Ujian saringan air kencing mendapati semua tangkapan negatif daripada sebarang kegiatan penyalahgunaan dadah,” ujarnya.

Pihaknya percaya sindiket tersebut aktif sejak Januari lalu dan menggunakan laluan tidak diwartakan keluar masuk sempadan Malaysia-Indonesia di sekitar persisir pantai daerah ini.

Tambah beliau, empat lelaki dan seorang wanita Indonesia serta dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai transporter, tekong darat, penjaga rumah penampunagan dan tekong laut ditahan bawah Seksyen 4(5) 2012.

“Sementara 11 migran ditahan bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast