Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuhkan perlindungan pelanggan melalui penambahbaikan Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (Perkhidmatan Aplikasi Kandungan).

Menurut MCMC, penambahbaikan dilakukan demi memastikan aduan pelanggan diuruskan dengan lebih berkesan, gangguan perkhidmatan ditangani dengan lebih pantas serta memastikan isu diselesaikan secara munasabah dan diterima oleh pengguna.

Jelasnya, standard tersebut menetapkan keperluan terhadap Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) bagi meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan, memperkukuh
akauntabiliti serta memastikan pengendalian aduan pelanggan yang lebih berkesan.

“Standard yang dikemas kini ini melangkaui sekadar memastikan perkhidmatan beroperasi, dengan memberi penekanan yang lebih kukuh terhadap tahap prestasi sebenar perkhidmatan kepada pengguna,” katanya menerusi kenyataan.

MCMC berkata, ciri utama dalam rangka kerja kawal selia yang diperkukuhkan ialah skop pemakaiannya yang lebih luas, merangkumi kedua-dua perkhidmatan aplikasi kandungan
berasaskan langganan dan bukan berasaskan langganan.

Dalam masa yang sama tambah suruhanjaya itu, ia memperkenalkan pelaporan yang lebih teguh dan keperluan tadbir urus, penetapan standard kualiti perkhidmatan yang lebih jelas serta kewajipan penyelesaian aduan yang lebih tegas.

Terdahulu MCMC berkata, standard itu terpakai kepada semua CASP yang menyampaikan perkhidmatan kandungan televisyen dan radio ke seluruh negara, termasuk penyiaran televisyen bebas ke udara berasaskan langganan dan penyiaran radio terrestrial.

MCMC berkata, sebanyak 34 CASP aktif tertakluk kepada standard berkenaan.

“CASP kini tertakluk kepada tahap akauntabiliti yang lebih tinggi, khususnya dalam aspek ketersediaan perkhidmatan, pemantauan prestasi serta penyelesaian isu perkhidmatan secara tepat pada masanya,” katanya lagi.

Ujarnya, pematuhan terhadap standard ini akan dipantau oleh MCMC, dengan CASP dikehendaki mengemukakan laporan prestasi Kualiti Perkhidmatan (Quality of Service, QoS) secara berkala serta mengekalkan rekod yang lengkap dan boleh diaudit sekurang-kurangnya selama dua tahun. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast