KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan cadangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang agar parti itu kembali kepada perjuangan Islam boleh dipertimbangkan sekiranya pemimpin Pas membuang rasa khianat.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu boleh digerakkan semula sekiranya syarat itu dipenuhi oleh Pas.
“Dulu saya yang memulakan (Muafakat Nasional) tapi DNA mereka adalah khianat.
“Kalau mereka (pemimpin Pas) hilangkan rasa khianat dalam hati mungkin kita boleh pertimbangkan tapi kalau khianat masih terus ada elok kita lupakan,” katanya hari ini.
Ahmad Zahid mengulas pertanyaan media berhubung cadangan Abdul Hadi yang mengajak UMNO untuk bermuhasabah dan ‘kembali ke pangkal jalan’ selepas didakwa tersalah memilih rakan politik dalam Kerajaan Perpaduan.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, UMNO semakin lemah kerana meninggalkan asas perjuangan Islam dan Melayu selepas memilih bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Semalam, dalam tulisan Minda Presiden bertajuk ‘UMNO: Rumah Yang Dicabut Paku Lantai’, Abdul Hadi berkata tindakan itu menyebabkan pegangan parti berkenaan terhadap dasar Islam dan Melayu semakin goyah.
“Apa dilakukan sekarang, UMNO sedia meninggalkan asas Islam dan Melayu, laksana mencabut paku lantai kerana bekerjasama dengan parti liberal seperti PKR dan parti yang melampau sekularnya seperti DAP kerana mahukan kedudukan, bukan kuasa dalam kerajaan,” katanya.
Muafakat Nasional ditubuhkan pada September 2019 sebagai gabungan politik antara UMNO dan Pas selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dengan matlamat menyatukan sokongan orang Melayu dan Islam susulan kekalahan Barisan Nasional (BN).
Kerjasama itu dilihat berjaya pada peringkat awal apabila kedua-dua parti mencatat beberapa kemenangan dalam pilihan raya kecil, sekali gus mencetuskan gelombang baharu politik Melayu yang ketika itu dianggap mampu menjadi cabaran besar kepada Pakatan Harapan (PH).
Namun, hubungan itu mula retak apabila berlaku perbezaan pendirian membabitkan pembahagian kerusi, hala tuju politik dan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Ketegangan memuncak apabila Pas memilih untuk terus bersama PN menjelang PRU-15, manakala UMNO mengambil keputusan bergerak secara solo di bawah BN.
Keadaan itu menyebabkan MN semakin hilang fungsi dan akhirnya dianggap “terkubur” apabila tiada lagi kerjasama rasmi atau gerak kerja bersama antara kedua-dua parti yang pernah diangkat sebagai simbol penyatuan politik Melayu tersebut. – MalaysiaGazette















