Azrif Abd Rashid.

JOHOR BAHRU – Kerajaan perlu menghentikan penganjuran aktiviti hiburan luar yang boleh menjejaskan moral rakyat dan keharmonian sosial negara.

Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Azrif Abd Rashid berkata, program seperti itu sekiranya tetap mahu dilaksanakan wajar dianjurkan di kawasan tertutup dengan pemantauan ketat serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Dalam masa sama, menurutnya, kerajaan disaran memperbanyakkan program hiburan berkonsepkan mesra keluarga yang melibatkan artis tempatan dan antarabangsa tanpa elemen melampau atau budaya liar.

“Pejuang Johor percaya bahawa pembangunan ekonomi tidak seharusnya mengorbankan nilai budaya, akhlak dan identiti negara.

“Malaysia mampu menjana ekonomi melalui hiburan yang sihat, terkawal dan menghormati sensitiviti masyarakat majmuk negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pendekatan seimbang seperti itu yang akan memastikan perpaduan rakyat terus terpelihara selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan identiti Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

Menurutnya, Pejuang Johor berpandangan bahawa penganjuran Rain Rave Festival baru-baru ini hanya indah khabar daripada rupa apabila angka keuntungan ekonomi yang diuar-uarkan tidak menggambarkan keseluruhan kesan sebenar terhadap masyarakat.

Jelasnya, walaupun kerajaan dan penganjur menguar-uarkan pulangan ekonomi yang besar, hakikatnya rakyat turut menanggung kos moral, budaya dan sosial yang jauh lebih besar.

Tegasnya, Malaysia tidak memerlukan budaya hiburan luar yang bercanggah dengan nilai masyarakat tempatan serta semangat Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Pejuang Johor menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada program hiburan dan pelancongan yang lebih mesra keluarga, beridentiti tempatan serta memberi manfaat langsung kepada rakyat marhaen,” katanya.

Sebagai contoh katanya, sambutan tahun baharu anjuran Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) yang lazimnya menelan kos sekitar RM5 hingga RM10 juta mampu menjana impak ekonomi sehingga RM30 hingga RM50 juta.

“Acara sebegini bukan sahaja percuma dan selamat untuk keluarga, malah turut memperkukuhkan identiti budaya Malaysia serta membuka peluang ekonomi kepada peniaga kecil dan komuniti setempat,” ujarnya.

Selain itu katanya, Karnival Jom Heboh yang dianjurkan dengan kos lebih rendah sekitar RM2 hingga RM5 juta bagi setiap lokasi juga terbukti mampu menjana impak ekonomi antara RM10 hingga RM20 juta dalam tempoh singkat.

Jika diperluaskan ke seluruh negara, katanya, siri penganjuran Jom Heboh berpotensi menjana sehingga RM100 hingga RM200 juta setahun sambil memberi ruang kepada koperasi, usahawan kecil, penggiat seni tempatan dan komuniti untuk turut merasai manfaat ekonomi secara langsung.

Sebaliknya, dakwa beliau, program Rain Rave Festival yang dianggarkan menelan kos melebihi RM5 hingga RM10 juta dilihat lebih banyak menguntungkan hotel, syarikat penerbangan dan pemain industri berskala besar.

Tambah beliau, walaupun jumlah impak ekonomi yang diumumkan sekitar RM200 hingga RM217 juta kelihatan tinggi, manfaat kepada rakyat biasa amat terhad.

“Lebih membimbangkan, konsep hiburan yang dibawa turut menimbulkan keresahan masyarakat kerana dikaitkan dengan budaya luar yang tidak sesuai dengan norma masyarakat Malaysia serta boleh mencetuskan perlakuan liar dan tidak terkawal dalam kalangan pengunjung,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast