Zulkarnain Yasin melakukan pemeriksaan dalam Ops 1J di susur Jalan Skudai-Pontian, Johor Bahru, malam tadi.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 71,320 kesalahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam operasi dijalankan sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin berkata, kesalahan tertinggi direkodkan pihaknya melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh iaitu 11,970 kes atau 15 peratus.

Jelasnya, ini diikuti kesalahan membabitkan kenderaan tiada insurans sebanyak 9,983 kes (14 peratus); tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 1,216 kes (2 peratus) dan tiada lesen vokasional (2 peratus).

“Bagi tempoh sama, kita juga telah melakukan sebanyak 341,917 pemeriksaan kenderaaan di mana 40,539 daripadanya telah diambil tindakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Ops 1J di susur Jalan Skudai-Pontian di sini malam tadi.

Pihaknya turut mencatatkan sembilan kesalahan utama sebanyak 10,287 kes atau 14 peratus antaranya membabitkan tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar, membawa lebih muatan dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Katanya, bagi kesalahan teknikal pula, sebanyak 15,715 kes direkodkan antaranya membabitkan nombor pendaftaran, cermin gelap, ubah suai kenderaan dan tayar celup.

Mengulas mengenai operasi bermula pukul 8 malam itu, Zulkarnain berkata, sebanyak 9,356  kenderaan diperiksa.

Beliau memberitahu, daripada jumlah itu, sebanyak 2,824 kesalahan direkodkan dan 1,896 kenderaan sudah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Kita akan meneruskan operasi sama termasuk di lokasi-lokasi lain di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya.

Dalam operasi sama, seramai 11 lelaki warga asing terdiri daripada tujuh warga Myanmar, tiga warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Seramai 304 anggota penguatkuasa daripada pelbagai agensi terbabit dalam operasi bersepadu selama dua jam berkenaan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast