Suasana selepas operasi SAR telah dihentikan hampir sembilan hari menyelamat wanita warga India yang terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di kawasan berkenaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Masjid India, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan membuat sebarang penetapan awal berhubung jumlah pampasan kes kematian yang mencetuskan perhatian ramai, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan, proses tuntutan perlu melalui saluran perundangan bagi memastikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang keputusan tergesa-gesa memandangkan kes berkenaan dianggap luar kebiasaan.

“Untuk urusan tuntutan itu, saya kira mereka perlu selesaikan melalui tuntutan mahkamah.

“Peguam mereka boleh buat tuntutan di mahkamah dan kita nak biarkan mahkamah putuskan berapa amaun pampasan,” katanya daalm sidang media, di sini hari ini.

Hannah mengulas tindakan keluarga mendiang G Vijaya Lakshmi yang bercadang menuntut pampasan RM800,000 daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan kejadian itu.

Peguam, M Partiben yang mewakili keluarga mangsa berkata, ia susulan dakwaan berlaku kecuaian dalam aspek penyelenggaraan dan keselamatan sehingga mengorbankan wanita warga India itu.

Katanya, jumlah itu dirujuk berdasarkan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini yang memerintahkan DBKL membayar ganti rugi lebih RM824,000 dalam kes kematian seorang individu akibat dihempap pokok tumbang.

Dalam pada itu, Hannah menjelaskan bahawa proses mahkamah memberi ruang kepada semua fakta dikemukakan secara telus sebelum keputusan dibuat.

Tambahnya, pendekatan tersebut dilihat sebagai jalan paling adil bagi memastikan hak keluarga mangsa terpelihara tanpa prejudis kepada mana-mana pihak.

“Kita tak pernah ada kes seperti ini di Kuala Lumpur, jadi lebih baik kita biarkan mahkamah putuskan,” katanya lagi.

Dalam kejadian pada 23 Ogos 2024, Vijaya Lakshmi, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India ketika berjalan di kawasan itu sebelum hilang dibawa arus bawah tanah.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama sembilan hari bagaimanapun gagal menemukan mangsa sebelum ditamatkan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast