Nordin Ithnin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang murid darjah dua.

BATU PAHAT – Seorang pemandu van warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majestret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Maimon.

Nordin Ithnin yang berusia 61 tahun mengangguk faham dan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majestrit Arun Noval Dass.

Mengikut kertas pertuduhan, Nordin didakwa memandu kenderaan motor van dengan melulu dan menyebabkan kematian Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, dihadapan SK Sri Maimon di Parit Sulong di sini pukul 12.30 tengah hari.

Tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.

Pertuduhan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan kemudiannya memohon tawaran wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan beberapa syarat tambahan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Tan Song Yan dalam pada itu merayu wang jaminan dikurang berikutan gaji OKT hanya RM1,800 sebulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan melapor di balai polis berhampiran sebulan sekali selain lesen memandu ditahan sehingga selesai kes.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 25 Jun ini.

Selasa lalu, Nur Aini Umairah Mohd Fareez maut selepas dilanggar sebuah van di hadapan sekolah tersebut.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dilaporkan berkata, kejadian dipercayai berlaku pukul 12.30 tengah hari, di hadapan pintu pagar utama sekolah berkenaan.

Siasatan awal polis mendapati, kemalangan berlaku ketika sebuah van yang berada dalam kawasan sekolah selepas selesai menghantar barang sedang bergerak keluar melalui pintu pagar utama menuju ke Jalan Simpang Lima-Parit Sulong. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast